Friday, 5 October 2012

FAKTA MENGENAI OBESITI DI MALAYSIA


(PETIKAN DARI UTUSAN ONLINE)

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail Noor berkata, gejala obesiti yang tidak dibendung boleh melemahkan struktur masyarakat kerana sebahagian besar generasi muda yang gemuk tidak aktif dan berpenyakit.

Justeru katanya, obesiti mesti ditangani secepat mungkin sebelum semakin ramai rakyat Malaysia mengalaminya."Obesiti boleh menyebabkan perubahan dalam sistem enzim dan hormon tubuh dan memberikan kesan negatif pada kesihatan.

"Pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, jantung serta menjejaskan sistem reproduksi berpunca daripada obesiti," katanya.Statistik menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa negara ini meningkat mendadak kepada 250 peratus pada tempoh 10 tahun lalu daripada 1996.

Sementara itu, jumlah mereka yang mengalami kegemukan turut bertambah kepada 70 peratus.
Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 pula menunjukkan dua daripada setiap lima orang dewasa atau 43 peratus mengalami sama ada kegemukan atau obesiti.

Lebih membimbangkan jumlah dewasa obes bertambah lebih tiga kali ganda lebih sedekad lalu, daripada empat peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada 2006.
Selain itu, kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat.

Kajian yang dilakukan baru-baru ini terhadap 10,000 orang pelajar menunjukkan 24 peratus yang berumur di antara enam tahun hingga 12 tahun terlebih gemuk atau obesiti.

No comments:

Post a Comment